Wednesday, January 13, 2010

Adun BN perlu jelaskan tajaan tunai haji

27 Muharram 1431H
Rizal Tahir

KOTA BHARU, 12 Jan: Kebiasaan orang kampung terpaksa menyimpan bertahun-tahun untuk mengumpul wang sebanyak RM16,000 di Tabung Haji bagi membolehkan mengerjakan ibadat haji.

Lebih mengharukan lagi apabila ada bakal haji yang sudah mencukupi jumlah tersebut masih tidak dapat menunaikan fardu haji kerana nama tidak disenaraikan.

Itulah kebiasaan yang kita dengar susah payah orang kampung untuk menunaikan rukun Islam kelima.

Namun lain pula bagi pemimpin Umno apabila dapat menunaikan haji dengan mudah tanpa perlu menunggu menggenapkan simpanan RM16,000.

Tahun lepas difahamkan Adun Kok Lanas, Datuk Md Alwi Che Mat dikatakan mendapat keistimewaan tersebut yang dibiayai Tabung Haji.

“Saya minta penjelasan Datuk Alwi, saya difahamkan beliau ke Makkah sekali dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi dan 20 orang VVIP yang mana tambang pun disediakan Tabung Haji,” dakwa Adun Salor, Datuk Husam Musa.

Beliau meminta Alwi yang juga Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Kelantan menjelaskan berhubung tajaannya ke Makkah sebelum gemar mencari kesalahan orang lain.

Semalam sebuah akhbar tempatan melaporkan Adun Kok Lanas mendakwa mempunyai bukti resit pembelian kek seberat 10 kilogram setiap enam biji kek bernilai RM516 yang diberikan kepada enam pihak termasuk Menteri Besar dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan, Ir Ariffahmi Abdul Rahman.

Dalam kenyataan tersebut Alwi meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan menjalankan siasatan terhadap dakwaan itu.

Husam yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, tidak wajar Alwi membangkitkan isu kek kerana ia dianggap menjadi kelaziman dalam dunia korporat.

“Sekiranya Alwi menyibuk diri ingin menjelaskan isu kek PMBK, pemergiannya ke Makkah dengan tajaan Tabung Haji juga perlu diberi penjelaskan kerana orang ramai hendak tahu.

“Kenapa Tabung Haji taja beliau, adakah ia dibolehkan,” ujarnya.

Harakahdaily.net/-

Tuesday, January 12, 2010

UMNO JUARA RAKYAT...PIIIIRAHHHH

Zolkharnain Abidin

Sekarang di sana sini Umno mencanang dirinya sebagai ‘Juara Rakyat’. Parti yang sudah berusia 63 tahun dan sedang kelelahan itu cuba memikat kembali hati masyarakat dengan slogan baru.

Suatu ketika dulu, pada zaman Tun M jadi PM, ada slogan ‘Tradisi Membela Rakyat’. Kesudahannya, slogan hanya tinggal slogan kerana yang terbela bukan rakyat tetapi kroni. Slogan itu berpusing 360 darjah menjadi ‘ Tradisi Membela Kroni’.

Ketika rakyat terulit dengan slogan itu, harta negara dipunggah ke dalam poket mereka yang berkuasa. Akhirnya, ‘Tradisi Membela Rakyat’ menjadi ‘Tradisi Melingkup Rakyat’.

Kini Umno berslogan lagi. Sasaran slogan itu adalah rakyat juga. Umno cuba menyuntik ubat pelali ke dalam fikiran rakyat. Biar rakyat terpesona dengan slogan walau pun hidup mereka terus terhimpit. Biar rakyat lali dengan slogan biar pun sekian banyak hak mereka dinafi.

Umno cuba berlagak menjadi jaguh. Semasa muda dan sihat dulu, orang terpesona dengan lagak dan gayanya. Tapi, kini Umno sudah tua, lagak dan gayanya orang sudah kenal. Kalau orang ramai-ramai pandang kepadanya pun, bukan kerana terpesona tetapi kerana meluat dan nak ketawa.

Sebenarnya Umno sudah tidak berupaya menjadi jaguh lagi. Bolehkah Umno menjadi jaguh ketika lutut dan pinggangnya sudah tergeliat, wajahnya sudah kerepot, sedah monopos pun…

Umno boleh melalikan rakyat suatu masa dulu dengan slogan ‘Tradisi Membela Rakyat’ kerana mungkin pada waktu itu rakyat belum benar-benar mengenali Umno. Kini tidak begitu lagi. Rakyat sudah tahu hati budi Umno.

Rakyat kenal Najib dan Rosmah. Mereka juga kenal Hishamuddin dan Zahid. Mereka tahu juga Muhyiddin dan Rais.

Mereka sudah masak dengan dacing senget dan berkarat itu. Dacing itu boleh menipu mereka dulu-dulu, tetapi tidak kini.

Rakyat tak akan lupa kepada Altantuya dan Teoh Beng Hock. Rakyat tahu kisah PKFZ, jet hilang dan bumbung runtuh. Rakyat tahu cerita komisen kapal selam dan jet. Rakyat juga tahu kisah bekalan duit untuk Rosmah membeli-belah di luar negara. Rasuah pemimpin Umno, itu sama sekali tak akan dilupa oleh rakyat.

Justeru, kalau begitulah wajah Umno, parti itu nak jadi juara apa? Juara (belit) Rakyat, Juara (tipu) Rakyat atau Juara (sembelih) Rakyat?

Kalau benar Umno ingin menjadi ‘Juara Rakyat’, pulangkan hak rakyat Kelantan. Mengapa lidah pemimpin Umno bercabang macam biawak apabila bercakap mengenai royalti? Mengapa boleh bertukar menjadi wang ehsan dan akan disalurkan pula melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan?

Kalau Kelantan tidak berhak dengan wang itu, mengapa disalurkan juga? Mengapa boleh jadi wang ehsan untuk Kelantan sahaja?

Mengapa tidak menjadi wang ehsan juga kepada negeri yang semput-semput macam Perlis? Tubuhkan jabatan serupa di Perlis dan salurkan kepada negeri itu, atau salurkan terus kepada kerajaan negeri yang juga Umno.

Kalau Kelantan berhak mendapat wang ehsan petroleum kerana telaga minyak itu di luar pantai Kelantan, ia juga diluar pantai Perlis. Mengapa cuma Kelantan yang dapat?

Maknanya, lidah pemimpin Umno memang lidah biawak. Bercakap mengenai ‘Juara Rakyat’ tetapi merampas hak rakyat.

Tunggulah, ‘Juara Rakyat’ ini pun tak akan kemana. Kalau program itu tidak mampu memenuhkan poket dan tembolok pemimpin Umno, yang tinggal hanya slogan sahaja.

Enjin jet hilang, yang kena dakwa adalah sarjan tapi menteri terlepas. PKFZ, yang kena adalah OC Phang, pemimpin MCA yang jadi menteri selamat. Bumbung runtuh, yang salah adalah kontraktor, pemimpin Umno yang ‘mentekedaghah’ rasuah boleh makan angin.

‘Juara Rakyat’ konon… peeeraaaahhhh…..

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=24170:-umno-juara-rakyat-kononpeeraaahh&catid=27:surat-pembaca&Itemid=46

Thursday, January 7, 2010

ISU PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH

Asalamualaikum dan salam sejahtera!

Isu mengguna kalimah Allah SWT oleh akhbar Katolik Herald dibenarkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Justice Lau Bee Lan.

Berikut di nyatakan pendirian rasmi PAS berkenaan perkara ini.


PAS sebagai parti Islam, amat menghormati prinsip kebebasan beragama seperti mana yang ditekankan oleh Islam kerana manusia tidak boleh dipaksa untuk menerima mana-mana agama melainkan ia merupakan pilihan sendiri.

Prinsip kebebasan beragama ini juga telah termaktub di dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutaan.

Walaupun demikian dalam konteks masyarakat di Malaysia, suasana dan keadaan setempat perlu diambil kira di atas kepentingan awam bagi memelihara keharmonian berbagai kaum dan agama.

Setiap warganegara Malaysia wajib memelihara suasana dan keadaan ini. PAS ingin menjelaskan bahawa berdasarkan kepada kaedah Islam, penggunaan nama Allah pada asasnya adalah dibenar untuk digunakan oleh agama samawi seperti Kristian dan Yahudi.

Walau bagaimanapun, penggunaan kalimah Allah secara salah dan tidak bertanggungjawab mestilah dielakkan supaya ianya tidak menjadi isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama dalam negara ini.

PAS memberikan peringatan kepada semua pihak supaya tidak menyalahgunakan perkataan Allah bagi mengelirukan atau menjadikan politik murahan untuk mendapatkan sokongan rakyat.

Al-Quran telah menyarankan cara yang betul menggunakan perkataan Allah, sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah Al Imran ayat 64 yang bermaksud.



‘‘Katakanlah: Hai Ahli Kitab,marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahawa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatu pun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sesama manusia seperti pemimpin dan sebagainya sebagai tuhan selain Allah’’
.
Pas dengan tegasnya ingin menolak sebarang bentuk tindakan agresif dan provokatif jahat yang boleh mengugat keharmonian dan mencetuskan ketegangan masyarakat.

PAS dengan segala rasa penuh tanggungjawab bersedia untuk menjelaskan isu ini kepada semua pihak bagi mewujudkan suasana yang harmoni berdasarkan kepada prinsip keadilan sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan dan dijamin oleh Islam.

Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
Presiden
Parti Islam Semalaysia (PAS)

Allahu A'lam