Monday, November 2, 2009

The Return of Akil Hayy.


Hazayani Zakaria
Sun | Nov 01, 09 | 4:57:24 pm MYT

KUALA LUMPUR, 1 Nov: Penceramah bebas dan penyanyi Akhil Hayy menyatakan kesediaannya untuk kembali ke pentas-pentas ceramah bagi menyampaikan dakwah seperti dahulu.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di majlis perkahwinannya dengan penyanyi dan pelakon Waheeda di Dewan Gutherie Bukit Jelutong, Shah Alam petang semalam.

"Ya, saya akan kembali ke pentas ceramah seperti dahulu. Sekarang saya dah kenal siapa kawan, siapa lawan," katanya.

Akhil yang popular dengan panggilan Ustaz 'Rock', suatu masa dahulu amat aktif menyampaikan ceramah agama dan mempunyai ramai peminat terutamanya di kalangan remaja disebabkan gaya penyampaianya yang menarik dan mesra remaja.

Bekas vokalis kumpulan rock D'Riyadh yang mewarnai persada seni tanah air sekitar penghujung 1980-an ini juga sering menyampaikan ceramah di pentas PAS di seluruh Malaysia.

Malah kehadirannya ke program-program ceramah PAS sering dianggap sebagai nilai tambah kepada parti kerana kelebihan yang dimiliki iaitu suara yang lunak dan sifat humor yang dimiliki.

Anak kelahiran Kampung Gunung Mesah Hilir, Gopeng Perak ini juga pernah memberi sumbangan yang besar kepada parti dalam menarik golongan belia dan remaja untuk mendekati PAS yang memperjuangkan Islam.

Beliau semakin mendapat tempat di hati remaja apabila muncul dengan album 'Nasyid Lagenda' yang memuatkan lagu-lagu berunsur dakwah dan Ketuhanan dan seterusnya membintangi rancangan dakwah 'Cafe Akhil Hayy' di saluran Astro Oasis.

Beliau menyampaikan dakwah secara tidak formal melalui rancangan tersebut dan berjaya menarik minat bukan sahaj golongan remaja malah golongan dewasa.

Kesibukannya sebagai artis yang membawa imej Islam dan program berbentuk dakwah menyebabkan beliau tidak mempunyai banyak masa untuk menerima undangan ceramah.

Namun, ditemu semalam, beliau dengan yakin memberi jaminan bahawa beliau akan kembali ke medan ceramah seperti dahulu.

Majlis pernikahan beliau dengan Waheeda yang terkenal dengan lagu 'Wassini' telah berlangsung pada 16 Ogos lalu namun baru sekarang mengadakan majlis resepsi atas permintaan kedua-dua belah keluarga.

Majlis ringkas yang diadakan meriah dengan kehadiran lebih 2,000 tetamu yang terdiri daripada kaum keluarga kedua-dua belah pihak, sanak saudara dan sahabat handai termasuk penyanyi terkenal, Mawi.

"Ikutkan kami hanya nak buat majlis nikah dan makan-makan tetapi atas permintaan kedua-dua belah keluarga, kami akhirnya bersetuju untuk melakukan majlis resepsi ini.

"Kami bukannya bersanding tetapi lebih kepada mengeratkan silaturahim dan pelamin sekadar untuk bergambar," katanya yang segak berjubah seluar hitam. Manakala Waheeda mengenakan jubah hitam bersama tudung dan 'veil' kuning dengan solekan nipis.

Akhil berkata, beliau bersyukur kerana Waheeda dapat menerima anak-anaknya dan menganggap Waheeda sebagai amanah dari Allah yang harus dijaga sebaik mungkin.

"Selepas berkahwin sekarang, saya tetap 'maintain' macam dulu dan mendambakan keluarga bahagia seperti orang lain..kita hanya merancang tetapi Allah yang menentukan."

Waheeda pula ketika ditanya perasaannya setelah menjadi isteri kepada Akhil melahirkan rasa syukur dan berasa lebih selamat kerana mempunyai suami yang baik dan bertanggungjawab untuk menjaganya.

"Kalau dulu, iman dan nafsu saya berbolak-balik tetapi sekarang banyak yang saya pelajari dari suami seperti tanggungjawab kepada Allah, suami dan keluarga," beritahunya dalam nada gembira.

Waheeda turut memberitahu, beliau mengambil keputusan untuk berhenti dari dunia nyanyian dan lakonan sebaliknya akan menumpukan sepenuh perhatian kepada keluarga.

Akhil yang mengakui isterinya mempunyai bakat besar dalam bidang nyanyian bagaimanapun berkata, lebih baik bakat tersebut digunakan untuk berada di sisi suami sahaja.

Akhil pula masih lagi dengan program dakwah di Astro Oasis.

Kedua-dua pengantin turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu menjayakan majlis berkenaan termasuk Nasyid.Com yang telah menghiburkan para tetamu sepanjang majlis berlangsung dari jam 2.30 hingga 4.30 petang.

Majlis resepsi sebelah pihak lelaki akan dilangsungkan di Gopeng, Perak pada 7 November ini.

Kemunculan Akhil di kaca televisyen dan program-program ceramah sudah tentu amat dinantikan oleh peminat-peminatnya setelah seketika dilanda pelbagai kontroversi

Jais Di Bidas Tiada Pertuduhan

02 November 2009
Jais dibidas, tiada pertuduhan!
GOMBAK, 2 Nov: Bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainal Abidin membidas sikap Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kerana tidak profesional, sambil lewa dan memungkiri janji apabila tiada wakil atau pendakwa daripada Jais yang hadir ke Mahkamah Syariah sebentar tadi.

Beliau yang dibebaskan oleh pihak mahkamah tanpa sebarang pertuduhan dan perbicaraan menyifatkan Jais tidak wajar memperlakukannya seperti itu sehingga menyusahkan pelbagai pihak.

Berita sebelum ini:

Bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainal Abidin akan menunggu di Mahkamah Syariah sehingga jam 1 petang nanti untuk menunggu pertuduhan ataupun dokumen berkaitan difailkan ke atasnya.

Sebelum ini, Dr Asri yang tiba di mahkamah sejak jam 9 pagi tadi diberitahu tiada pertuduhan difailkan.

Demikian siri episod tangkapan terhadap Dr Asri yang dianggap aneh oleh pelbagai pihak hari ini apabila diberitahu bahawa tiada pertuduhan atau dokumen berkaitan difailkan pagi ini.

Dr Asri dilihat tiba pada jam 9 pagi tadi kerana diarahkan untuk hadir di mahkamah atas alasan secara lisan oleh pihak Jais bahawa beliau mengajar tanpa tauliah.

Dalam kejadian malam tadi,beliau ditahan oleh sepasukan anggota polis dan pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ketika mengadakan ceramah agama di sebuah rumah di Taman Sri Ukay, Hulu Klang.

Ceramah itu dihadiri kira-kira 100 orang termasuk Anggota Parlimen Ampang (KeADILan), Zuraida Kamaruddin dan Anggota Dewan Undangan Negeri Hulu Klang (PAS), Saari Sungib.

Namun,Dr Asri yang ditahan tengah malam tadi telah dibebaskan dengan jaminan polis kira-kira pukul 1.10 pagi tadi. Bagaimanapun beliau dikehendaki hadir ke mahkamah pada jam 9 pagi ini.

Di pekarangan mahkamah pagi tadi, Dr Asri menbidas sikap pihak berkuasa dan pendakwa yang tidak hadir lagi sehingga kini.

"Mereka tangkap saya dulu baru tuduh. Tetapi mahkamah kata belum ada apa-apa pertuduhan lagi. Saya pun tak tahu sebab apa nak datang sini

"Pihak Jais yang bagi arahan, tetapi saya nak tahu 'tangan ghaib' siapa di sebaliknya,"tegas Dr Asri.

Menurutnya, tindakan tidak profesional ini menyebabkan membuang masa beliau, para penyokongnya, termasuk wakil-wakil rakyat (Saari Sungib dan Zuraida Kamaruddin) dan wakil Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom.Turut kelihatan di pekarangan mahkamah yang memberikan sokongan kepada beliau adalah Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Hj Ghazali, Naib Ketua Pemuda PAS Pusat, Azman Shapawi Abdul Rani, Marina Mahathir dan Zainah Anwar (SIS).

Ketika ini, Dr Asri berada di luar mahkamah dan sedang berbincang dengan wakil NGO dan wakil-wakil rakyat.

Beliau difahamkan akan bertemu dengan Datuk Jamil Khir sebentar lagi.

Hampir 100 orang hadir untuk memberikan sokongan kepada beliau termasuk puluhan wartawan.

11.00 pagi: Ketika ini, Dr Asri sedang menunggu di dalam Mahkamah Syariah dan beliau berkata akan menunggu pertuduhan sehingga jam 1 petang nanti.

1.00 petang:Dr Asri sebentar tadi dibebaskan tanpa sebarang pertuduhan dan perbicaraan dengan jaminan pihak mahkamah.

Menurut beliau, semasa ditemui wartawan, penantian (menunggu pendakwa dan wakil Jais) adalah sesuatu yang sia-sia.

Beliau juga mengkritik Jais kerana tidak hadir untuk memberitahu jenis pertuduhan ke atasnya dan mempersoalkan kenapa badan agama itu memungkiri janji sedangkan beliau telah menunggu sejak jam 9 pagi tadi.

Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan bahawa ada perjanjian antara pihak peguam dan mahkamah bahawa mereka boleh dipanggil bila-bila masa atau sebaliknya.

Bertanyakan sebarang tindakan lanjut di pihaknya, beliau memberitahu, pihaknya akan merujuk kepada peguam.

Dr Asri kini akan menuju ke Hotel Putra, Kuala Lumpur untuk bertemu dengan Datuk Jamil Khir dan selepas itu satu sidang media akan diadakan. Harakahdaily/-